19 February 2011

Tol PJS 2 di NPE dikurangkan kepada RM1 (Good Job Datuk Seri Najib)

PETALING JAYA 17 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kadar tol Petaling Jaya Selatan (PJS) 2 di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) dikurangkan daripada RM1.60 kepada RM1.

Perdana Menteri berkata, kadar baru tol berdekatan Taman Medan dan menghala ke Bandar Sunway itu akan mula berkuat kuasa selepas pukul 12 tengah malam ini.

"Saya sudah janji bahawa kita akan buat terbaik untuk rakyat dan ini adalah contoh apa yang kita buat ini adalah demi rakyat," katanya semasa berucap pada Pesta Capgome anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan PJS sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Capgome.

Najib berkata, pengumuman itu dibuat istimewa bagi rakyat Selangor dan Malaysia.

Penduduk di kawasan itu sebelum ini pernah mendesak kerajaan supaya menghapuskan bayaran tol di situ kerana ia dilihat menyusahkan mereka terutama yang terpaksa berulang-alik dari Taman Medan ke Shah Alam untuk bekerja.

Sebelum ini, kerajaan pada 13 Februari 2009 telah memansuhkan kutipan tol di plaza yang sama menghala ke Kuala Lumpur.

Lebuh raya sepanjang 19.5 kilometer itu mula beroperasi sejak 30 April 2004 dan diuruskan oleh syarikat konsesi lebuh raya New Pantai Express Way Sdn. Bhd.

-UTUSAN-

1 comment: